Bilik ini merupakan bilik tidur utama Cheng Siew & Jee Geok Neo, dan kemudian digunakan oleh Seng Kee dan Joo Suan.
Kini, ia telah dijadikan sebagai bilik pengantin dan mempamerkan artifak-artifak perkahwinan masyarakat Baba dan Nyonya.
Perkahwinan Baba dan Nyonya berlangsung sepanjang 12 hari yang penuh dengan keraian dan ritual. Perhiasan kamar pengantin biasanya disempurnakan oleh kaum wanita sebelum upacara perkahwinan berlangsung.
Upacara penyucian tempat tidur
Upacara ini akan berlangsung sebaik sahaja tempat tidur siap dihias dan “dibersihkan” dengan asap setanggi. Pada hari yang tertentu, seorang budak lelaki akan dipilih untuk bergolek di atas tempat tidur ini bagi menyempurnakan ritual penyucian tempat tidur bagi pasangan pengantin tersebut. Ritual ini dilakukan dengan harapan agar pasangan pengantin akan mendapat ramai keturunan hingga ke anak cucu.
Pakaian Pengantin
Pakaian pasangan pengantin ini dipakai oleh Chan Seng Kee dan Ho Joo Suan semasa perkahwinan mereka pada bulan Disember 1917. Pada awal tahun 1900an, pakaian perkahwinan Melaka diperbuat khas oleh tukang sulam Shanghai yang menetap di Singapura. Pakaian ini direka berdasarkan gaya pakaian dinasti Qing (1644-1912) untuk pengantin perempuan manakala pengantin lelaki memakai pakaian gaya dinasti Ming (1368-1644).
Makan Chun Tok
Upacara makan Chun Tok merupakan kali pertama pasangan pengantin lelaki dan perempuan berjumpa dan makan bersama sebagai suami dan isteri. Ketika ini, pasangan pengantin akan bermain kaki dan menurut kepercayaan mereka, sesiapa yang berjaya memijak kaki pasangannya, maka dia akan lebih berkuasa.
Pada masa yang sama, para hadirin akan memerhatikan lilin yang menyala di meja Chun Tok ini kerana menurut kepercayaan mereka juga, setiap lilin ini melambangkan jangka hayat pasangan pengantin tersebut. Sekiranya lilin yang bermotifkan naga padam dahulu, maka besar kemungkinan si suami akan meninggal dunia dahulu dan sebaliknya. Oleh yang demikian, pada kebiasaannya, kedua-dua belah lilin ini akan dipadamkan serentak untuk mengelakkan sebarang prasangka.