Rumah ini berukuran 160 kaki (49m) panjang dan 55 kaki (16m) lebar. Kawasan perumahan di sini telah wujud semenjak zaman pemerintahan Belanda. Tiada sebarang jendela yang terdapat di kedua-dua belah rumah ini. Terdapat empat ruang udara yang direka khas untuk tujuan pengudaraan dan pencahayaan. Air hujan yang mengalir ke dalam rumah akan menyejukkan suasana selain melambangkan kekayaan (ong) yang melimpah masuk ke rumah kerana menurut kepercayaan masayarakat Cina, air melambangkan wang.
Tangga
Salah satu keunikan rumah ini merupakan tangga yang dipenuhi ukiran kilauan emas. Tiada sebarang paku yang digunakan dalam pembinaan tangga tersebut kerana mereka percaya bahawa paku hanya digunakan untuk memaku keranda.
Simbol-simbol yang terdapat pada tangga ini melambangkan dewa-dewi dalam mitos Cina yang melambangkan 8 cara hidup yang berlainan: kemiskinan, kekayaan, bangsawan, golongan pekerja, warga tua, remaja, maskulin dan kewanitaan.
Seorang daripada lapan dewa itu bernama Lu Don Bin yang memegang sebilah pedang dan berus sakti. Menurut lagenda, beliau mencapai tahap kedewaan pada usia 50 dan selalu dipuja oleh para pesakit. Beliau juga dikatakan memburu naga dan menghalau pelbagai jenis kejahatan dari dunia ini.